Saidina Umar al-Khattab, kadang-kadang dipanggil juga sebagai Umar
al-Farooq ataupunOmar atauUmar ialah daripada Bani Adi iaitu salah satu
golongan Bani Adi Quraisy. Beliau menjadi khalifah kedua Islam pada 23
Ogos (633-644 Masihi) bersamaan 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah dan
merupakan salah seorang Khulafa al-Rasyidin.
Saidina Umar dilahirkan di Makkah. Bapanya bernama Khattab bin Naufal
bin Abdul Uzza. Beliau dikatakan terdiri daripada golongan kelas
pertengahan. Sewaktu kecilnya beliau pernah mengembala kambing dan pada
zaman dewasanya beliau berniaga dengan berulang-alik ke Syam membawa
barang dagangan. Beliau juga berilmu, perkara yang amat jarang berlaku
pada masa tersebut, dan juga merupakan seorang pejuang dan wira yang
gagah dan terkenal kerana kegagahannya.
Saidina Umar bin al-Khattab telah mendapat hidayat Islam pada tahun ke-6
kenabian ketika berumur 27 tahun. Beliau memeluk Islam setelah
mendengar adik perempuannya membaca ayat-ayat al-Quran . Dalam sebuah
hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabrani bahawa Rasulullah s.a.w juga
pernah berdoa: Ya Allah , kuatkanlah Islam dengan Umar. Sebuah hadis
daripada Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah
s.a.w bersabda : Apabila Umar memeluk Islam, Jibrail pun datang dan
berkata : Ya Muhammad , sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira
dengan Islamnya Umar
Semasa Nabi Muhammad s.a.w. mula menyebarkan Islam secara
terang-terangan, Saidina Umar mempertahankan ajaran tradisi masyarakat
Quraisy. Saidina Umar ialah antara orang yang paling kuat menentang
Islam pada masa itu.
Menurut ahli sejarah Islam, semasa Saidina Umar dalam perjalanan untuk
membunuh Rasulullah s.a.w., beliau bertembung dengan seseorang yang
mengatakan bahawa beliau haruslah membunuh adik perempuannya dahulu
memandangkan adiknya telah memeluk Islam.
Saidina Umar pergi ke rumah adiknya dan mendapati adiknya sedang membaca
al-Quran dari Surah Taha. Dalam keadaan yang marah dan kecewa beliau
memukul adiknya. Apabila melihat adiknya berdarah, beliau meminta maaf
dan sebagai balasan beliau akan membaca secebis ayat Al Quran kepada
adiknya. Beliau berasa terharu apabila mendengar ayat-ayat al-Quran yang
begitu indah sehinggakan beliau memeluk Islam pada hari itu juga.
Selepas peristiwa terbabit, beliau berjanji akan melindungi Islam sehingga ke titisan darah terakhir.
Saidina umar merupakan antara individu yang berhijrah ke Yathrib
(kemudiannya dikenali sebagai Madinah). Dia merupakan salah seorang
daripada Sahabat Rasulullah s.a.w..
Pada tahun 625 M, anak perempuan Saidina Umar iaitu Hafsa mengahwini Nabi Muhammad s.a.w.
Nabi Muhammad s.a.w. wafat pada tahun 632 Masihi. Saidina Umar dikatakan
amat sedih dengan kewafatan Rasulullah s.a.w. sehinggakan beliau
sanggup membunuh sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w.
telah wafat. Beliau kemudiannya kembali tenang selepas Saidina Abu
Bakar (khalifah pertama umat Islam) berucap "Sesiapa yang menyembah
Muhammad ketahuilah bahawa baginda telah wafat, tetapi sesiapa yang
menyembah Allah s.w.t., ketahuilah bahawa Allah itu hidup dan tidak akan
mati." Saidina Abu Bakar kemudiannya membaca beberapa potong ayat Al
Quran untuk mententeramkan umat Islam.
Saidina Abu Bakar dengan sokongan Saidina Umar menjadi khalifah pertama
umat Islam. Semasa pemerintahan singkat Saidina Abu Bakar, Saidina Umar
merupakan penasihat Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar mencalonkan
Saidina Umar sebagai penggantinya sebelum kematiannya pada tahun 634 M.
Dengan itu Saidina Umar menjadi khalifah kedua umat Islam.
Semasa pemerintahan Saidina Umar, empayar Islam berkembang dengan pesat;
orang Islam menawan Mesopotamia dan sebahagian kawasan Parsi daripada
Empayar Parsi (berjaya menamatkan Empayar Parsi), dan menawan Mesir,
Palestin, Syria, Afrika Utara, dan Armenia daripada Byzantine (Rom
Timur). Ada di antara pertempuran ini menunjukkan ketangkasan tentera
Islam seperti Perang Yarmuk yang menyaksikan tentera Islam yang
berjumlah 40,000 orang menumpaskan tentera Byzantine yang berjumlah
120,000 orang. Hal ini mengakhiri pemerintahan Byzantine di selatan Asia
Kecil.
Pada tahun 637 Masihi, selepas pengepungan Baitulmuqaddis yang agak
lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut. Paderi besar
Baitulmuqaddis iaitu Patriarch Sophronius menyerahkan kunci kota itu
kepada Saidina Umar. Beliau kemudiannya mengajak Saidina Umar supaya
bersembahyang di dalam gereja besar Kristian iaitu gereja Church of the
Holy Sepulchre. Saidina Umar menolak dan sebaliknya menunaikan solat
tidak berapa jauh daripada gereja tersebut kerana tidak ingin
mencemarkan status gereja tersebut sebagai pusat keagamaan Kristian. 50
tahun kemudian, sebuah masjid yang digelar Masjid Umar dibina di tempat
Saidina Umar menunaikan solat.
Saidina Umar banyak melakukan reformasi terhadap sistem pemerintahan
Islam seperti menubuhkan pentadbiran baru di kawasan yang baru ditakluk
dan melantik panglima-panglima perang yang berkebolehan. Semasa
pemerintahannya juga kota Basra dan Kufah dibina.
Saidina Umar juga amat dikenali kerana kehidupannya yang sederhana.
Pembaharuan Dalam Pemerintahan.
Membentuk Majlis Syura.
Khalifah Umar telah membentuk satu Majlis Syura yang merupakan lembaga
atau majlis perunding yang tertinggi. Ianya terbahagi kepada dua iaitu
Majlis Syura Tertinggi dan majlis Syura Am.
Anggota Majlis Syura Tertinggi ialah terdiri daripada Uthman bin Affan,
Ali bin Abi Talib, Zaid bin Tsabit, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi
Waqas dan Mu'az bin Jabal. Semua pekara yang melibatkan masalah politik,
keselamatan dan sosial negara akan dibincangkan bersama-sama dalam
majlis tersebut. Majlis Syura ini juga bertanggungjawab menentukan
polisi negara dalam soal pemerintahan dalaman dan hubungan luar.
Melalui amalan sistem syura, Khalifah Umar dapat mengetahui apa-apa
permasalahan yang berlaku dalam semua segi. Beliau juga membuka peluang
dan kebebasan yang seluas-luasnya kepada semua orang untuk mengemukakan
fikiran dan pendapat mereka demi kebaikan dan keadilan Islam, Sehingga
beliau menggangap semua manusia yang tidak mahu memberikan pendapat
adalah manusia yang tidak berfaedah.
Membahagikan Wilayah-Wilayah Islam.
Perkembangan Islam yang semakin luas dengan pembukaan negara-negara
Islam yang baru telah memerlukan kepada pentadbir bagi menguruskan
sesebuah negara. Dengan perluasan kuasa ini, Khalifah Umar telah
membahagikan kerajaan Islam yang semakin luas kepada beberapa wilayah
demi menjaga kelicinan pentadbiran Islam. Umar meletakkan beberapa orang
pegawai untuk menjalankan pentadbiran. Mereka yang dilantik hendaklah
datang ke Mekah pada tiap-tiap tahun selepas menunaikan haji untuk
membuat laporan. Khalifah Umar dikatakan berkebolehan dalam memilih
pegawai-pegawai yang cekap bagi melicinkan pentadbiran, sebagai
contohnya Muawiyah bin Abu Sufyan, Amru bin al-Ass, Al Mughirah bin
Syu’bah dan Zaid bin Sumyah.
Sebelum seorang Gabenor itu dilantik, mereka haruslah mengisytiharkan
harta mereka bagi mengelakkan dari menerima rasuah. Inilah syarat yang
dikenakan oleh Khalifah Umar Al-Khattab bagi menjamin keadilan dan
kesucian Islam.
Memperbaharui undang-undang pentadbiran tanah.
Perluasan kuasa Islam menuntut kepada Khalifah Umar untuk melakukan
pembaharuan terhadap sistem tanah. Di Mesir, Syam dan Iraq misalnya,
segala tanah-tanah awam adalah menjadi milik kerajaan tempatan dan
segala hasil dari tanah tersebut akan digunakan untuk membiayai
kemudahan-kemudahan awam negara itu juga. Khalifah Umar juga menetapkan
tanah-tanah yang dimiliki oleh penduduknya tidak akan dirampas tetapi
ianya akan dikenakan cukai.
Tentera atau umat Islam dari negara lain tidak dibenarkan mengambil
tanah dari negara jajahan kecuali melalui pembelian. Ini berbeza dengan
amalan-amalan sebelumnya dimana tanah-tanah akan dibahagikan kepada
tentera yang menyertai peperangan.
Pembaharuan dalam bidang ekonomi.
Banyak pembaharuan yang dilakukan oleh Umar bagi mengagihkan pendapatan
kepada rakyat dan juga negara mengikut kehendak Islam. Kadar dan sistem
cukai telah diubah. Cukai yang dikenakan mengikut jenis tanaman yang
ditanam. Syarat-syarat yang menyusahkan rakyat dan tidak adil akan
dihapuskan. Beliau juga sering bertanyakan kepada golongan-golongan
Dzimmi (orang bukan Islam) untuk mengetahui samada cukai yang dikenakan
membebankan mereka. Inilah langkah yang dilakukan oleh Umar sebelum
pekara ini diperbaharui. Kesemua ini menyebabkan pungutan cukai menjadi
cekap dan perbendaharan negara bertambah. Beliau juga turut memajukan
sistem pertanian dengan membuka tanah-tanah baru dan juga mengadakan
projek pengairan, yang mana ianya telah dilaksanakan di Mesir dan Iraq
bagi menambahkan lagi hasil pertanian.
Melakukan polisi baru untuk golongan Dzimmi.
Khalifah Umar telah mengadakan cukai tanah dan juga jizyah kepada
golongan ini. Cukai ini adalah berpatutan kerana rendah kadarnya dan
tidak menyusahkan mereka. Pernah suatu kali khalifah Umar memanggil 10
orang Dzimmi dari Kufah dan 10 orang Dzimmi dari Basrah supaya mereka
bersumpah, bahawa cukai yang dikenakan keatas mereka tidak membebankan.
Taraf dan hak awam diberikan sama rata seperti apa yang dinikmati oleh
orang Islam. Golongan Dzimmi yang masih menentang Islam akan dibuang
atau dihalau keluar negara. Harta mereka tidak akan dirampas, malah
harta mereka yang tidak dapat dipindahkan seperti ladang akan dibayar
ganti rugi oleh kerajaan Islam.
Memperbaharui taraf kedudukan hamba.
Golongan hamba pada masa itu telah diberikan hak kepentingan sosial dan
taraf yang baik. Hamba tidak lagi dihina dan ditindas, mereka boleh
hidup bebas seperti orang-orang biasa, kecuali bagi orang-orang yang
benar-benar menentang Islam dalam peperangan. Umar menetapkan bahawa
hamba perempuan yang menjadi ibu tidak boleh dijual sewenang-wenangnya
seperti hamba-hamba lain. Begitu juga dengan hamba yang berkeluarga
tidak boleh dipisahkan dari keluarga mereka.
Taraf golongan hamba juga disamakan dengan tuannya dalam apa-apa hal
tertentu, pegawai-pegawai yang tidak menghormati dan menjaga hal
kebajikan hamba akan dikenakan tindakan oleh Khalifah Umar. Sebagai
contoh, Umar pernah melucutkan jawatan seorang pegawainya yang tidak
menziarahi pekerjanya yang sakit.
Menggalakkan kegiatan keilmuan dan pelajaran.
Pelbagai langkah telah dilakukan oleh Khalifah Umar untuk mengembangkan
pelajaran al-Qur'an. Beliau menyediakan guru-guru bagi mengajar pelbagai
ilmu berhubung dengan keilmuan dan dihantar ke serata tempat bagi yang
memerlukan serta diberi gaji yang lumayan. Sekolah-sekolah ditubuhkan di
masjid-masjid bagi diajar pelajaran Islam di seluruh wilayah Islam.
Umat Islam diwajibkan menghafal surah-surah tertentu didalam al-Quran
bagi menghuraikan prinsip-prinsip utama ajaran Islam seperti surah
al-Baqarah, an-Nisa, al-Maidah dan sebagainya. Golongan ini akan
diberikan pelbagai ganjaran sebagai satu usaha untuk menggalakkan
menghafal kandungan al-Quran.
Pembaharuan Dalam Bidang Ekonomi.
Memajukan sistem pertanian.
Khalifah Umar telah mewujudkan terusan bagi memajukan sistem pertanian
yang mana terusan tersebut seperti Terusan Amirul Mukminin yang
menghubungkan Sungai Nil dengan Laut Merah sepanjang 69 batu dari bandar
Fustat. Di Iraq pula beliau telah membina Empangan Abu Musa yang
menyambungkan Sungai Dajlah (Tigris) dengan bandar Basrah.
Tanah juga telah dikaji selidik bagi menempatkan tanam-tanaman yang
bermutu. Rakyat juga digalakan untuk membuka tanah-tanah baru bagi
memperbanyakkan hasil pertanian. Tanah yang tidak dikerjakan akan
ditarik balik sekiranya tidak terdapat hasil pertanian di dalamnya.
Begitu juga beliau juga telah mengadakan sistem cukai bagi menambahkan
pendapatan negara.
Saidina Umar wafat pada tahun 644 Masihi selepas dibunuh oleh seorang
hamba Majusi Parsi yang bernama Abu Lu'lu'ah atau Pirouz. Abu Lu'lu'ah
menikam Saidina Umar kerana menyimpan dendam terhadap Saidina Umar. Dia
menikam Saidina Umar sebanyak enam kali sewaktu Saidina Umar menjadi
imam di Masjid Nabawi, Madinah.
Saidina Umar meninggal dunia dua hari kemudian dan dikebumikan di
sebelah makam Nabi Muhammad s.a.w. dan juga makam Saidina Abu Bakar.
Saidina Uthman bin Affan dilantik menjadi khalifah selepas kematiannya..
6.09.2014
Riwayat Hidup Umar Al Khattab
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar: