Siti Fatimah Az Zahra r.a mencapai puncak keremajaan dan kecantikannya
ketika Islam dibawa Nabi Muhammad SAW sudah maju dan pesat di Madinah
dan sekitarnya. Ketika itu Siti Fatimah Az Zahra r.a benar-benar telah
menjadi anak gadis remaja. Keelokan parasnya banyak menarik perhatian.
Tidak sedikit pemuda terhormat yang menaruh harapan ingin
mempersuntingkan puteri Rasulullah SAW itu. Beberapa orang terkemuka
dari kaum Muhajirin dan Ansar telah berusaha melamarnya. Menangani
lamaran itu, Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa baginda sedang menanti
datangnya petunjuk dari Allah SWT mengenai puterinya itu.
Pada suatu hari Abu Bakar As Siddiq r.a, Umar Ibnul Khattab r.a dan Saad
bin Muaz bersama- sama Rasulullah SAW duduk dalam masjid baginda. Pada
kesempatan itu diperbincangkan antara lain persoalan puteri Rasulullah
SAW. Ketika itu baginda bertanya kepada Abu Bakar As Siddiq r.a, “Apakah
engkau bersedia menyampaikan persoalan Fatimah itu kepada Ali bin Abi
Talib?”
Abu Bakar As Siddiq r.a menyatakan kesediaannya. Ia berangkat untuk
menghubungi Sayidina Ali r.a. Sewaktu Sayidina Ali r.a melihat datangnya
Abu Bakar As Siddiq r.a dengan tergopoh-gapah, ia menyambutnya dengan
terperanjat kemudian bertanya, “Anda datang membawa berita apa?” Setelah
duduk rehat sejenak, Abu Bakar As Siddiq r.a segera memperjelaskan
persoalannya, “Wahai Ali, engkau adalah orang pertama yang beriman
kepada Allah dan Rasul-Nya serta mempunyai lebih keutamaan dibandingkan
dengan orang lain. Semua sifat utama ada pada dirimu. Demikian juga
engkau adalah kerabat Rasulullah SAW. Beberapa orang Sahabat terkemuka
telah menyampaikan lamaran kepada baginda untuk dapat mempersuntingkan
puteri baginda. Lamaran itu semuanya baginda tolak. Baginda menyatakan
bahawa persoalan puterinya diserahkan kepada Allah SWT. Akan tetapi,
wahai Ali, apa sebab hingga sekarang engkau belum pernah menyebut-nyebut
puteri baginda itu dan mengapa engkau tidak melamar untuk dirimu
sendiri? Kuharap semoga Allah dan Rasul-Nya akan menahan puteri itu
untukmu.”
Mendengar perkataan Abu Bakar r.a itu, mata Sayidina Ali r.a
berlinang-linang. Menanggapi kata-kata itu, Sayidina Ali r.a berkata,
“Wahai Abu Bakar, anda telah membuat hatiku goncang yang sebelumnya
tenang. Anda telah mengingatkan sesuatu yang sudah kulupakan. Demi
Allah, aku memang menghendaki Fatimah, tetapi yang menjadi penghalang
satu-satunya bagiku ialah kerana aku tidak mempunyai apa-apa.” Abu Bakar
r.a terharu mendengar jawapan Sayidina Ali r.a yang menyentuh perasaan
itu. Untuk membesarkan dan menguatkan hati Sayidina Ali r.a, Abu Bakar
berkata, “Wahai Ali, janganlah engkau berkata seperti itu. Bagi Allah
dan Rasul-Nya, dunia dan seisinya ini hanyalah ibarat debu-debu
bertaburan belaka!” Setelah berlangsung dialog seterusnya, Abu Bakar r.a
berjaya mendorong keberanian Sayidina Ali r.a untuk melamar puteri
Rasulullah SAW. Beberapa waktu kemudian, Sayidina Ali r.a datang
menghadap Rasulullah SAW yang ketika itu sedang berada di tempat
kediaman Ummu Salamah. Mendengar pintu diketuk orang, Ummu Salamah
bertanya kepada Rasulullah SAW, “Siapakah yang mengetuk pintu?”
Rasulullah menjawab, “Bangunlah dan bukakan pintu baginya. Dia orang
yang dicintai Allah dan Rasul-Nya, dan ia pun mencintai Allah dan
Rasul-Nya!”
Jawapan Nabi Muhammad SAW itu belum dapat memuaskan hati Ummu Salamah
r.a. Ia bertanya lagi, “Ya, tetapi siapakah dia itu?” “Dia saudaraku,
orang kesayanganku!” jawab Nabi Muhammad SAW. Tercantum dalam banyak
riwayat, bahawa Ummu Salamah di kemudian hari mengisahkan pengalamannya
sendiri mengenai kunjungan Sayidina Ali r.a kepada Nabi Muhammad SAW
itu: “Aku berdiri cepat-cepat menuju ke pintu, sampai kakiku
terhantuk-hantuk. Setelah pintu kubuka, ternyata orang yang datang itu
ialah Ali bin Abi Talib. Aku lalu kembali ke tempatku semula. Dia masuk,
kemudian mengucapkan salam dan dijawab oleh Rasulullah SAW. Ia
dipersilakan duduk di depan baginda. Ali bin Abi Talib menundukkan
kepala, seolah-olah mempunyai maksud tetapi malu hendak mengutarakannya.
Rasulullah mendahului berkata, “Wahai Ali, nampaknya engkau mempunyai
suatu keperluan. Katakanlah apa yang ada dalam fikiranmu. Apa saja yang
engkau perlukan, akan kauperolehi dariku!” Mendengar kata-kata
Rasulullah SAW itu, lahir keberanian Ali bin Abi Talib untuk berkata,
“Maafkanlah aku, ya Rasulullah. Engkau tentu ingat bahawa engkau telah
mengambil aku dari bapa saudara engkau, Abu Talib dan ibu saudara
engkau, Fatimah binti Asad, ketika aku masih kanak-kanak dan belum
mengerti apa-apa. Sesungguhnya Allah telah memberi hidayah kepadaku
melalui engkau juga. Dan engkau, ya Rasulullah, adalah tempat aku
bernaung dan engkau jugalah yang menjadi wasilahku di dunia dan Akhirat.
Setelah Allah membesarkan aku dan sekarang menjadi dewasa, aku ingin
berumah tangga, hidup bersama seorang isteri. Sekarang aku datang
menghadap untuk melamar puteri engkau, Fatimah. Ya Rasulullah, apakah
engkau berkenan menyetujui untuk menikahkan diriku dengannya?” Ummu
Salamah membuka kisahnya: “Ketika itu kulihat wajah Rasulullah nampak
berseri-seri. Sambil tersenyum baginda berkata kepada Ali bin Abi Talib,
“Wahai Ali, apakah engkau mempunyai suatu bekal mas kahwin?” “Demi
Allah,” jawab Ali bin Abi Talib dengan terus terang, “Engkau sendiri
mengetahui bagaimana keadaanku, tak ada sesuatu tentang diriku yang
tidak engkau ketahui. Aku tidak mempunyai apa-apa selain sebuah baju
besi, sebilah pedang dan seekor unta.”
“Tentang pedangmu itu,” kata Rasulullah menanggapi jawapan Ali bin Abi
Talib, “Engkau tetap memerlukannya untuk meneruskan perjuangan di jalan
Allah. Dan untamu itu engkau juga perlu untuk keperluan mengambil air
bagi keluargamu dan juga engkau memerlukannya dalam perjalanan jauh.
Oleh kerana itu aku hendak menikahkan engkau hanya atas dasar mas kahwin
sebuah baju besi saja. Aku puas menerima barang itu dari tanganmu.
Wahai Ali, engkau wajib bergembira, sebab Allah Azza wa Jalla sebenarnya
sudah lebih dahulu menikahkan engkau di langit sebelum aku menikahkan
engkau di bumi!” Demikianlah riwayat yang diceritakan Ummu Salamah r.a.
Setelah segala-galanya siap, dengan perasaan puas dan hati gembira,
dengan disaksikan oleh para Sahabat, Rasulullah mengucapkan kata-kata
ijab kabul pernikahan puterinya: “Bahawasanya Allah SWT memerintahkan
aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas mas kahwin 400 dirham (nilai
sebuah baju besi). Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal itu.” “Ya
Rasulullah, itu kuterima dengan baik,” jawab Ali bin Abi Talib dalam
pernikahan itu. Demikianlah berlakunya pernikahan antara dua orang yang
sangat dicintai oleh Rasulullah SAW yakni puterinya, Siti Fatimah dan
Sahabat yang jua merupakan sepupu baginda yakni Sayidina Ali. Rasulullah
SAW mendoakan keberkahan atas perkahwinan itu.
Siti Fatimah mengisar sendiri gandum untuk dijadikan tepung sebelum
diuli dan dimasak menjadi roti sebagai hidangan suami dan anak – anaknya
Sejarah menyaksikan bahawa Fatimah puteri Rasulullah adalah seorang
wanita mulia yang menempuh berbagai ujian yang memerlukan pengorbanan
yang cukup besar dalam hidupnya. Walaupun beliau adalah puteri
Rasulullah, namun hidupnya bukannya disaluti kemewahan dan kesenangan,
tetapi kemiskinan dan kesusahan. Apabila berkahwin dengan Sayidina Ali,
kehidupannya tetap susah. Walaupun Rasulullah pemilik kepada seluruh
kekayaan di muka bumi tetapi baginda tidak pernah mendidik anaknya
dengan kemewahan. Sewaktu menjadi isteri Sayidina Ali, Siti Fatimah
menguruskan sendiri keperluan rumah tangganya. Sayidina Ali sering tiada
kerana keluar bersama Rasulullah SAW. Setiap hari, Siti Fatimah
mengangkut air dari sebuah perigi yang jauhnya dua batu dari rumahnya.
Beliau mengisar tepung untuk keperluan makanan keluarganya. Dalam serba
susah dan miskin, beliau tetap ingin bersedekah walaupun hanya dengan
sebelah biji kurma. Siti Fatimah tidak pernah mengeluh atau menyalahkan
suaminya terhadap kesusahan yang terpaksa dihadapinya. Bahkan dikatakan
bahawa seluruh kesusahan wanita di dunia ini telah ditanggungi oleh
beliau sehingga beliau tidak perlu dipoligamikan. Wanita mulia ini
sangat pemalu dan sangat menjaga maruah dirinya. Sewaktu Rasulullah SAW
hampir wafat, dia menemani ayahanda kesayangannya itu. Ketika itu
Rasulullah SAW telah berbisik ke telinga kanannya. Rasulullah
memberitahu Siti Fatimah bahawa sudah sampai masanya untuk baginda
mengadap Tuhan. Siti Fatimah sungguh sedih kerana akan berpisah dengan
ayah yang sangat dikasihinya. Kemudian baginda berbisik ke telinga
kirinya pula. Siti Fatimah tersenyum gembira. Rupa-rupanya Rasulullah
SAW menyatakan bahawa Siti Fatimah adalah orang yang pertama yang akan
menyusuli baginda. Siti Fatimah meninggal di usia 28 tahun, lebih kurang
lima bulan selepas wafatnya Rasulullah SAW.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar